Sejarah Dan Peranan eSIS

Sejak 2005 sehingga kini

eSIS beroperasi berlandaskan kepada teras ketujuh Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) iaitu mengukuhkan sistem penyampaian Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT). Ianya mula dibangunkan mulai Disember 2005 dan pelancaran kepenggunaannya pada Jun 2007. Penambahbaikan sistem e-SIS juga berpandukan kepada Key Performance Indicators (KPI) yang menetapkan indikator-indikator tertentu bagi memenuhi kepuasan pelanggan.

Ciri utama e-SIS adalah kemudahan mengakses rekod menggunakan internet ataupun secara 'web based' malah maklumat dihimpun dalam pangkalan data tunggal. e-SIS menggunapakai platform bermula dengan Active Server Pages (ASP.NET) dan beralih kepada Java Server Pages (JSP) selepas fasa penilaian pembangunan dilaksana.

eSIS merupakan satu inovasi dalam pengurusan JPP dan JPKK selaras dengan perkembangan teknologi ICT yang pesat membangun, dengan penggemblengan pasukan kerja yang hanya maksimum seramai 15 orang sahaja iaitu terdiri daripada pengaturcara dan pengurus projek di kalangan tenaga pengajar politeknik dan kolej komuniti yang komited dan berdaya saing, e-SIS berjaya mencapai sasaran KPI nya bagi mempertingkat sistem penyampaian kementerian. e-SIS tidak menggunakan khidmat konsultansi mana-mana firma swasta mahupun agensi kerajaan yang lain. Dengan kata lain, e-SIS adalah hasil usaha dan kebijaksanaan serta kepakaran warga JPP dan JPKK. Penjimatan dari segi tenaga kerja dan modal wang ringgit bukan sahaja dapat meningkatkan produktiviti malah kualiti turut sama dipertingkat. Natijahnya perancangan yang strategik disambut pelan tindakan yang mampan serta komitmen seluruh pasukan kerja e-SIS yang begitu tinggi telah melonjakkan nama kementerian ke tahap yang lebih baik dalam sistem penyampaiannya.